Rabu, 27 April 2011

Chicken Pox; ujian di akhir kehamilan

sempat lagi ke strawberry park dalam keadaan sarat & adik diserang chicken pox...

masuk minggu ke-36 usia kandunganku,anak ke2 (aliah sofea@adik) dijangkiti chicken pox.. seingat aku dari kecil aku sendiri pun belum pernah kena,begitu juga dengan suamiku..kata orang sekali seumur hidup setiap orang pasti laluinya, malah ada yang dijangkiti lebih dari sekali.
bukan aku mengeluh dengan ujian yang kecil ini, cuma dalam keadaan sarat sekarang ini aku takut tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada anak yang sedang sakit. tapi syukur kepada Allah,aku dikurniakan suami yang sangat prihatin dan bertanggungjawab. beliaulah yang lebih byk menguruskan anak,malah urusan rumahtangga juga.terima kasih ABANG! anakku juga seorang yang kuat semangat,walau kurang sihat namun dia sentiasa ceria,cuma yg selalu disebut2 dia mahu ke sekolah seperti biasa,rindu pada kawan2 barangkali...

di ruangan ini kukongsikan info berkaitan chicken pox sebagai panduan bersama yang disalin dari http://www.infosihat.gov.my

Pengenalan

Chicken pox juga dikenali sebagai cacar air, jintungan atau bertih (mengikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh virus Varicella (kumpulan virus herpes) dan amat mudah berjangkit. Ia berlaku pada semua peringkat umur, biasanya pada kanak-kanak. Ia lebih teruk sekiranya berlaku kepada orang dewasa. Rebakan adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang dijangkiti. Rebakan juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala dari penghidap chicken pox.

Pengidap chicken pox boleh merebakan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping. Kayap (herpes zoster) ialah infeksi dari virus yang sama dan berlaku pada di masa hadapan (umur dewasa).

Tanda dan Gejala

Pengidap chicken pox akan mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam chiken pox akan timbul kurang dari 2 minggu selepas jangkitan berlaku.

Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan biji dan kemudian membentuk gelembung berisi air. Bila gelembung berisi air pecah ia menjadi kering dan berkeruping. Rasa gatal sederhana atau teruk menyebabkan pesakit akan menggaru dan akhirnya menyebabkan parut.

Gejala lain ialah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Penghidap juga ada batuk ringan, hidung berair dua hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Komplikasi

Ruam atau cacar air Chickenpox akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakala penyakit boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:

  • Bayi baru lahir, di mana ibu tidak penah mengidap chicken pox atau pelalian chicken pox.
  • Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap chickenpox seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi.
  • Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukaemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan pesakit asma dan sindrom nefrotik.
    Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema).

Komplikasi akibat chicken pox:

  • Jangkitan kulit- menjadi lebam merah, bengkak dan sakit. Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga.
  • Kerosakan otak akibat radangan otak. Tanda-tanda radangan otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri.
  • Radang sendi- sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak
  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.

Rawatan

  1. Ubatan anti-viral :

Acyclovir atau immuno globulin diguna untuk merawat chicken pox. Rawatan amat berkesan sekiranya diambil segera dalam tempoh 24 jam dijangkiti. Ia akan mengurangkan keterukan dan komplikasi akibat chicken pox. Semua orang dewasa mendapat kebaikan dari rawatan antiviral di awal penyakit terutama yang kurang sistem daya tahan (orang lanjut usia, pesakit diabetes, pengidap HIV& AIDS serta rawatan steroid).

  1. Rawatan antibiotik

Komplikasi akibat chicken pox ; radangan kulit dan radangan paru-paru memerlukan rawatan antibiotik. Pesakit yang mendapat radang otak hendaklah dimasukkan ke hospital untuk rawatan antivirus.

  1. Rawatan di rumah

    • Sapu losyen calamine.
    • Ubatan antihistamin kurangkan gatal-gatal
    • Panadol untuk demam

Pencegahan

Pelalian memberi ketahanan sepanjang hayat, diberi pada umur 12-18 bulan. Pemberian pelalian- bawah umur 13 tahun terima hanya 1 dos, selepas umur 13 tahun. 2 dos, selang masa 4-8 minggu antara dos 1 dengan dos 2. Pelalian aktif diberi kepada kanak-kanak berisiko (antara 1- 5 tahun) sekiranya ahli keluarga ada chiken pox.

Selasa, 26 April 2011

8 TIPS LAHIRKAN ANAK SOLEH



Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.

Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.

Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.

Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.

Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.

Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.

Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.

Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.

Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.

Demikianlah antara hak-hak anak. Wallahua’lam

disalin dari http://www.islamituindah.my

Sabtu, 2 April 2011

sesudu bubur untuk si ibu



sudah lama sy ingin berkongsi kisah yang saya baca dari sebuah majalah beberapa tahun yang lepas sempena hari ibu..berulangkali saya membacanya dan tiap kali itu jugalah hati saya tersentuh,hingga pernah satu ketika saya berkongsi cerita tersebut di dalam kelas dan saya menangis teresak-esak di hadapan anak-anak didik saya...



Malam itu saya lihat ibu membuka penutup tin yang diletakkan di penjuru rumah. ibu menggoncang-goncang dan meraup butiran beras di adalm tin itu. hanya ada dua tin susu sahaja yang masih berbaki. beras sudah hampir habis rupanya. pada siapa hendak ibu mengadu? ayah? saya tahu, ibu tidak mahu memikirkan hal itu.

ibu mengerling ke arah kami yang masih belum makan. saya lihat ibu ambil sedikit beras dari dalam tin susu itu., kemudian masukkannya ke dalam periuk. air dituang hingga penuh. setelah hampir setengah jam, ibu masukkan ke dalam sepuluh biji pinggan yang sudah tersedia.

bubur nasi itu berasap. seorang demi seorang anaknya dipanggil sehingga adik kami yang paling bongsu. makanlah kami sepuluh beradik ini hingga pinggan licin bersih. malam itu kami tidur dengan nyenyaknya.

paginya, kami bangun untuk bersarapan dan saya perhatikan ibu menyalakan api untuk memasak. ibu mengambil baki beras di dalam tin susu. sekali lagi ibu membuat bubur yang cair. seperti semalam juga, kami menghirup bubur hingga habis. bubur itu, walaupun cair saya rasakan begitu enak sekali. kami mengadu tidak cukup tetapi saya lihat ibu menyibukkan dirinya membasuh pinggan dan periuk. ibu seperti tidak mahu melayan permintaan kami.

tengah hari itu pun begitu. bubur nasi yang cair untuk kami sepuluh beradik. setiap kali waktu makan, saya perhatikan ibu pasti menadah tangan bersyukur anak-anaknya tidak kebuluran. mungkin ibu bersyukur hari ni kami dapat menyambung nyawa untuk sehari dua lagi. mungkin juga ibu bersyukur kerana walaupun hidup miskin dan susah, tetapi kami tidak meminta-minta. kemudian saya lihat ibu berpaling ke belakang.

masuk hari ketiga, kakak kami yang sulung memandang ke arah ibu yang sedang duduk membelakangi kami adik-beradik. saya tidak menyangka, seperti saya kakak juga perasan ibu akan membelakangkan kami semasa menikmati bubur cairnya. yang kedengaran hanya bunyi sudu bersentuhan dengan mangkuk.

saya tidak tahu kenapa. adakah ibu mahu makan sendirian dan tidak mahu diganggu? atau ibu tidak sampai hati melihat kami yang sedang kelaparan?

perlahan-lahan kakak mengengsotkan badannya mendekati ibu. alangkah sedihnya kakak apabila dia melihat rupa-rupanya ibu hanya melaga-lagakan sudu di dalam mangkuknya yang sebenarnya kosong. tiada sebutir bubur nasi pun di dalam mangkuk ibu!

kakak segera berbisik kepada kami yang duduk di sekelilingnya. adik-adik yang lain turut berbisik cerita yang sama sehinggalah kepada yang bongsu. kemudian kami seramai sepuluh beradik sepakat menghadiahkan sesudu bubur nasi untuk ibu.

kami sedih. kami tahu ibu sedang kelaparan, tetapi ibu tidak mahu memberitahu kami. ibu berkorban untuk kami. ibu sengaja melaga-lagakan sudunya dengan mangkuk bagi membohongi kami seolah-olah ibu juga sedang menikmati bubur nasi yang dimasaknya.

setelah semua menghadiahkan sesudu bubur, saya lihat kakak mendekati ibu. kemudian kakak menghulurkan semangkuk bubur cair yang kami kongsi beersama tadi.

"makanlah, mak!" kata kakak perlahan.

ibu berpaling memandang kakak. tanpa menyentuh mangkuk yang dihulukan, ibu bingkas bangun kemudian terus berlari ke bilik dan menutup pintu. kami hanya mampu melihat titisan-titisan air mata ibu berciciran di lantai sehingga ke pintu bilik.......
sungguh sedih cerita ini. tidak jemu dibaca kerana ini adalah kisah benar. betapa besarnya pengorbanan seorang ibu...semoga kita menghargai ibu kita dan tidak lupa sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka...