Selasa, 1 Februari 2011

khurafat di kalangan masyarakat melayu



beberapa hari yang lepas sy & keluarga berkesempatan memenuhi hak sesama muslim ~ menghadiri satu undangan majlis perkahwinan seorang kenalan suami. walau meredah hujan yg lebat alhamdulillah kami selamat sampai ke tempat yg dituju.

sedang kami menjamah hidangan tiba beberapa orang kampung tempatan (agaknya) yg sudah veteran...salah seorang pakcik berkata "tak baling sp**der ke atas bumbung ke semalam?" jawab makcik yg lg sorang..."entah, dah bagitau Cikgu R (tuan Rumah) suruh baling...semalam rumah si Anu elok panas,hari ni hujan pulak..."

sy dan suami saling berpandangan...dalam hati saya mengucap panjang. inilah kali pertama sy dengar petua nak elak hujan..Astaghfirullahal a'zim.. tp memang patut pun tuan rumah xdengar cakap makcik tu, walau hujan turun mencurah-curah tapi majlis beliau tetap meriah dan semua meja sentiasa penuh dengan tetamu..

pada saya inilah satu kepercayaan di kalangan masyarakat melayu yang tidak boleh diguna pakai, seolah2 kita yang mengatur hari hujan atau pun tidak...bukankah hujan itu suatu rahmat dan salah satu masa mustajab berdoa ialah pd waktu hujan??


Perkataan khurafat ini berasal dari bahasa arab :kharafa-yakhrifu- kharfan- khurafatan. Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada "superstition".

Dari segi bahasa khurafat didefinisikan sebagai sebaris kata yang membawa erti kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. Contohnya : kata-katanya itu banyak bida’ah dan khurafat. Ia merupakan amalan hidup yang pernah wujud di dalam masyararakat jahiliah pada masa lalu.

Manakala menurut istilah syarak pula mengertikan perkara ini sebagai semua kepercayaan yang diyakini kegiatannya memiliki dasar dan bersumber daripada ajaran agama Islam walaupun pada hakikatnya perkara tersebut adalah bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu penutup para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t.

Pada mulanya perkataan ini lebih dimaksudkan untuk semua hal atau kepercayaan yang bertentangan dengan kaedah Islamiah yang benar. Akan tetapi selanjutnya juga dimaksudkan untuk semua praktik, aktviti mahupun kegiatan muamalah atau bidang-bidang yang menjadi lapangan berlaku tuntutan syariat padanya.

Ramai di antara umat Islam terlepas pandang atau tidak mengambil berat akan perkara ini, namun inilah hakikatnya bahawa gejala ini telah menular di dalam agama Islam dalam pelbagai sudut, aspek dan bentuk sehingga ia telah meliputi konsep ibadah dan kehidupan masyarakat Islam sendiri.

Khurafat yang diyakini oleh pelakunya sebagai sesuatu yang dibenarkan oleh agama mungkin sahaja dapat dapat memberikan ketenangan dan kemantapan jiwa bagi melakukannya. Malangnya, kerana perbuatan itu pada dasarnya menyimpang dari tuntutan agama yang sebenar, maka kenikmatan itu adalah bersifat semu, iaitu tidak kekal. Hal ini sama sekali bertentangan dengan fitrah manusia kerana ia bertentangan dengan akal sihat.

Bila Islam memusatkan seluruh pengabdian kepada Allah s.w.t maka khurafat menyelewengkannya daripada pemusatan tersebut secara tidak langsung dan bila Islam melapangkan bidang muamalah bagi manusia, ia cenderung pula untuk menyempitkannya.

AMALAN KHURAFAT MASIH BERTERUSAN

Dalam kalangan masyarakat sekarang, negara kita umumnya terdapat banyak gejala khurafat, ia adalah hasil budaya orang kita yang terlalu percayakan hal-hal yang bawa oleh orang terdahulu daripada mereka tanpa merujuknnya secara mendalam di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta para alim ulama kerana iman yang kurang mantap termasuk sikap masyarakat yang inginkan jalan mudah dalam mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup serta sikap orang kita yang amat kuat berpegang kepada adat. Buktinya peribahasa yang berbunyi “Biar mati anak, jangan mati adat.”

Adapun gejala khurafat ini terdidik dari kecil, contohnya di dalam budaya masyarakat kita adalah menjadi kebiasaan kanak-kanak sering ditakutkan dengan hantu pada malam jumaat sedangkan pada malam tersebut Allah s.w.t menurunkan rahmat untuk semua hamba-Nya pada malam tersebut. Bahkan ada lagi satu situasi di mana kanak-kanak takutkan dengan hantu apabila tidak mendengar ibu bapa, kenapa sahaja tidak katakan kepada anak tersebut bahawa Tuhan akan marah? Rasanya itu lebih baik dan akan memupuk semangat takut akan Maha Pencipta.

Walau bagaimanpun khurafat juga boleh berlaku secara tidak sengaja oleh pelakunya atau sebaliknya. Hal ini boleh berlaku terhadap sesuatu individu, kelompok dan istitusi masyarkat masa kini kerana lemahnya mereka yang bersangkutan untuk menolak godaan khurafat atau ada maksud-maksud tertentu. Mungkin tanggungjawab terhadap Allah s.w.t jauh lebih berat dan besar dibandingkan dengan pelanggaran- pelanggaran lainya yang dilakukan dengan sengaja.

Khurafat secara tidak sengaja lazimnya berlaku disebabkan oleh kejahilan pelakunya bahawa hal berkenaan tidak dibenarkan oleh Islam dan terpesong dari landasan yang benar. Namun, bagi mereka yang melakukan perbuatan khurafat ini dengan sengaja ataupun tidak, pintu taubat masih terbuka untuk mereka asalkan mereka mahu bertaubat.

BENTUK KHURAFAT.

Khurafat masih wujud di dalam masyarkat Islam sekarang, bahkan ia juga telah muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk perbuatan tertentu, ungkapan tertentu, cerita atau kisah tertentu, bilangan tertentu, serta konsep, prinsip atau mazhab tertentu. Amalan mengunjungi kubur yang dianggap keramat mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial membuang ancak bagi menghalau hantu adalah sebahagian bentuk gejala khurafat.


Melenggang Perut.

Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan semenanjung manakala di sebelah utara semenanjung lebih dikenali dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka pada masa itu, bidan akan dipanggil untuk memeriksa dan menentukan isteri yang hamil itu betul-betul telah genap tujuh bulan hamil atau belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh bulan isteri itu hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti berikut:

1.Tujuh helai kain yang berlainan warna.

2. Satu gantang beras.

3. Sebiji buah kelapa.

4. Beberapa urat benang.

5. Satu batang damar.

6. Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.

7. Beberapa batang lilin.

8. Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.

9. Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.

Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:

Mula-mula tok bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.

Selepas itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.

Setelah itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.

Biasanya, pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.


Temasya Mandi Safar

Temasya Mandi Safar merupakan satu perayaan orang Melayu khususnya orang Melaka yang diwarisi sejak zaman berzaman. Temasya ini diadakan setiap tahun apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. Ia disambut pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan tersebut.

Sebelum Perang Dunia II, sebahagian masyarakat menganggap temasya mandi Safar ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Islam. Menurut anggapan mereka, kononnya hari tersebut dirayakan sebagai menyatakan kesyukuran kerana junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. telah sembuh daripada sakit yang amat berat.

Ada pendapat yang menganggap bulan Safar bulan Nahas atau bulan Bala kerana di dalam bulan ini terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini. Oleh itu orang-orang tua sering mengingatkan anak cucu mereka agar berhati-hati ketika melakukan sebarang pekerjaan.

Oleh kerana wujud kepercayaan seumpama ini, maka upacara perkahwinan, pertunangan dan majlis keraian tidak dilalukan pada bulan tersebut kerana dipercayai jodoh teruna dan dara tidak berkekalan.

Di Melaka tempat yang terkenal mengamalkan pesta Mandi Safar ialah di Tanjung Beruas, Tanjung Kling, Melaka. Tempat ini terletak di tepi laut Selat Melaka iaitu kira-kira tujuh batu dari Bandar Melaka.

Dalam menjayakan pesta ini, kereta lembu memainkan peranan yang penting. Pemilik kereta lembu yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat tani akan mengambil bahagian. Setiap tahun pada malam Rabu akhir bulan Safar mereka akan membanjiri sepanjang pantai Tanjung Keling dengan membawa kumpulan mereka. Beberapa minggu sebelum tibanya hari tersebut, lembu-lembu ini akan dibersihkan dan disapu minyak. Di samping itu mereka akan mengumpulkan alat muzik seperti biola, gong dan gendang bagi mengiringi mereka nanti.

Semasa dalam perjalanan mereka akan mengesek biola, memukul gendang dan gong serta menyanyi sepanjang jalan sehingga ke Tanjung Kling. Mereka akan menyanyi sambil berbalas pantun dalam berbagai corak pantun.


Azimat

Semua benda-benda yang dipercayai dapat melindungi diri seseorang daripada segala ancaman marabahaya atau mencegah musibah daripada menimbah diri manusia. Tangkal adalah salah satu daripadanya. Tangkal merupakan barang yang dibuat untuk dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari benang, kalung yang diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk diletakkan di tempat-tempat tertentu dengan tujuan melindung dari gangguan syaitan seperti kemenyan yang dibalut dengan kain dan diletak di sudut kediaman.

Lazimnya benda-benda sebegini didapati daripada pengamal-pengamal ilmu hitam atau sihir dan ia diyakini mempunyai kekuasatan ghaib serta memilik khadamnya yang terdiri makhluk ghaib.

Manakala waraq pula adalah azimat dalam bentuk tulisan-tulisan berupa huruf, nombor, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau kepingan tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan kadangkala bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran. Itulah sebabnya ada golongan yang terpedaya sehingga mempercayai ia berkaitan dengan ajaran Islam.

Jika wafaq tersebut mempunyai tulisan ayat Al-Quran maka si pemakainya sebenarnya telah menghina Al-Quran kerana menganggap remeh ayat-ayat dalam kitab suci itu dan ini benar-benar bertentangan dengan apa yang dimuatkan di dalamnya. Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dari kegelapan, bukan sebagai azimat.

Fenomena ini bertentangan dengan Islam kerana tiada daya melainkan Allah s.w.t. Dan tentunya kita pernah mendengar ayat ini “Tidak akan berlakunya sesuatu perkara itu melainkan dengan izin Allah s.w.t.” Perbuatan ini ditentang keras di sisi agama islam kerana ia boleh menjerumuskan seorang individu kepada syirik. Tambahan lagi hadis umumnya melarang azimat dan tidak disebutkan pula pengecualiannya walaupun ada percanggahan pendapat dalam kalangan alim ulama.


SMS Atau Surat Berantai

Tercetus daripada kemajuaan teknologi yang dikecapi oleh masyarakat masa kini. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak perasan, terlepas pandang dan tidak mengambil berat perkara ini bahawa bentuk amalan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang amat halus.

Jika kita selidiki setiap surat berantai atau SMS berantai pastinya dimulakan dengan cerita-cerita yang menginsafkan dan mengingatkan kembali seseorang akan tuntutan Islam namun sebaliknya pula di akhir helaian atau pun SMS. Contoh pengakhiran suatu SMS atau surat berantai lebih kurang begini :

“Barang siapa yang tidak menyebarkan SMS kepada sepuluh orang ini atau mengabaikannya, maka dia akan ditimpah kesusahan selama tujuh hari. Manakala siapa yang mereka menyebarkannya pasti ada akan dilimpahi kesenangan daripada Allah s.w.t selama tujuh minggu.”

Justeru, orang yang menerima SMS atau surat tersebut pun terpedaya dan menyebarkannnya kepada sepuluh orang kerana takut dengan kesusahan yang diperkatakan itu sama ada secara terpaksa atau tidak.

Namun itu bukanlah persoalannya utamanya, persoalannya di sini mereka yang mempercayai perkara ini telah dipesongkan akidahnya. Sama ada percaya atau tidak, mereka yang termakan dengan ayat seperti di atas sebenar telah meletakkan kekuasaan untuk menentukan takdir hidup mereka pada SMS atau helaian berkenaan bukannya Allah s.w.t. Susunan ayat seperti di atas telah mengalihkan keyakinan mereka daripada Maha Pencipta secara halus. Kemungkinan gejala terbaru ini adalah sebahagian rancangan musuh-musuh Islam tidak boleh diambil ringan.

AKIBAT MEMPERCAYAI ATAU MENGAMALKAN PERBUATAN KHURAFAT.

Gejala khurafat boleh menyeleweng akidah seorang invidu muslim dengan mengalihkan pergantungan manusia daripada Khalik (Pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Hal ini ditegaskan boleh menjatuhkan kepada seorang individu muslim kepada syirik kerana apabila kita merujuk kepada Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah s.w.t dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya sama ada bagi mendapat kebaikan atau menolak keburukan. Yang memberikan kenikmatan dan keyakinan hanya Allah s.w.t. kepada- Nya seluruh makhluk bergantung. Firman Allah :

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehnedaki ke atas kamu sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepada ku adakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakal.”


( Surah Al-Zumar : Ayat 38 )


Khurafat boleh membatalkan iman seorang muslim dan menggugurkan syahadah yang telah diucapkannya disamping membazir masa, tenaga dan harta dengan perkara sia-sia serta menyekat akal berfikir secara logik dan sistematik disamping boleh menjatuhkan seorang muslim kepada syirik. Hadis Nabi :


“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak (tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala)”


( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )


Kemudian, masyarakat yang mengamalkan akan mengalami banyak krisis kemunduran terutama sekali amalan akhlak. Situasi ini boleh kita lihat apabila merenung bagaimana keadaan masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai perkara telah disempitkan oleh gejala khurafat. Fikiran pun kolot.


Oleh yang demikian tidak beruntunglah sesuatu bangsa suatu umat selagi mana amalan khurafat ini masih bertapak di dalam kelompok mereka walaupun mereka dapat mengecapi nikmat dunia.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48:

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “



semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita & menjauhi kita dari segala yang menyesatkan.

http://www.islam.gov.my/khutbah-online/khurafat-membawa-sesat

http://www.ashtech.com.my/adat/lenggang_perut.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Temasya_Mandi_Safar

http://nurjeehan.hadithuna.com/ilmu-akidah-perisai-utama-elak-khurafat/

http://www.scribd.com/doc/3243947/PANDANGAN-ISLAM-TERHADAP-KHURAFAT

1 ulasan: