Khamis, 23 Disember 2010

mengajar anak-anak erti bersyukur

puteri-puteriku sayang...


konsep bersyukur sangat luas. bersyukur bukan hanya pada lidah, tapi juga pada perbuatan. Bersyukur (berterima kasih), kepada sesama manusia lebih cenderung kepada menunjukkan perasaan senang menghargai. Adapun bersyukur kepada Allah lebih cenderung kepada pengakuan bahawa semua kenikmatan adalah pemberian dari Allah. Inilah yang disebut sebagai syukur. Lawan kata dari syukur nikmat adalah kufur nikmat, iaitu mengingkari bahwa kenikmatan bukan diberikan oleh Allah.

suatu malam sebelum tidur puteriku yg sulung,anis maisarah tiba-tiba bersuara.. "ummi, nanti kakak dgn adik dapat baby,kita kena la tukar cat rumah kita...rumah kita dah buruk,adik dgn kakak conteng.." spt biasa setiap cadangan yg diberi akan kujawab agar mereka akan rasa dihargai.. "kakak,syukurlah kita ada rumah. walaupun rumah kita tak cantik tapi kita masih ada rumah untuk berlindung. cuba tgk dalam 'bersamamu' ada orang rumah pun tak ada,tinggal kat pondok je..ada tu tinggal di kandang lembu je.." bukan niatku untuk menghina mereka yang tidak berkemampuan tetapi sekadar untuk membuat anak-anak kecil ini berfikir..

dalam proses membesar ini anak-anak lebih banyak belajar dari persekitaran. setiap apa yang mereka lihat akan menjadi contoh. pendidikan tidak terbatas dalam bilik darjah semata-mata, malah pendidikan itu berlaku di setiap saat yang mereka lalui. saya biasa memberi contoh yang hampir dengan mereka terutama dalam bab bersyukur.

ada suatu masa dulu si kakak komplen lauk yang umminya masak cuma dua jenis shj. maklumlah bab masak ummi ni kekadang ikut mood..masa itu saya mengambil peluang untuk mengajar anak2 erti bersyukur dengan apa yang ada..makan tidak semestinya perlu ada banyak lauk pauk yang best, tetapi makan untuk meneruskan kehidupan..alhamdulillah kita masih dapat menjamah nasi setiap hari dengan lauk yang berbeza..adakalanya ikan,ayam,daging,ketam,udang,sotong dan segala macam..

teringat saya satu dokumentari yang rakam di vietnam sempena hari raya korban yang lalu. muslims di sana hanya dapat merasa daging sekali setahun. hampir menitik air mata saya melihat betapa gembiranya mereka bergotong royong masak kari daging.seekor lembu yang tumbang cuma dimasak kari untuk santapan seluruh penduduk kampung..tiada sambal,tiada acar buah,tiada lauk sampingan yang lain..hanya kari daging! contoh-contoh sebegini sangat bagus ditonton oleh anak2 kita. selepas itu saya memberi ulasan agar mereka lebih memahami keadaan yang berlaku.

antara perkara lain yang selalu saya ingatkan agar anak2 sentiasa bersyukur ialah semasa di dalam kereta. walau kereta yang dimiliki tidaklah mewah, tapi kita masih punya kereta. ke mana pun kita pergi dalam hujan mahupun panas kita masih boleh berlindung. orang lain bersesak-sesak di dalam bas,lebih malang lagi jika bermotorsikal..anak kecil kesejukan dalam pelukan ibu di kala hujan..masa itulah saya mengajak anak banyakkan ucap alhamdulillah..

anak-anak selalu membuat perbandingan dengan kawan2nya...kawan A ada itu dan kawan B ada ini... bukan kita tidak mampu untuk menyediakan segala kehendak mereka. (apalah sangat benda yang mereka suka..kasut baru, baby doll dll) tetapi saya dan suami lebih suka bersederhana, tidak terlalu turutkan apa yang mereka nak. sebaliknya kita memberi sebab yang munasabah agar mereka merasa syukur. kasut yang ada pun sudah berpasang-pasang, lebih baik dari orang yang 'berkaki ayam'.. kita kena ajar mereka memandang orang yang kekurangan berbanding orang yang berada..

baju-baju lama yang masih elok tetapi sudah tidak muat atau dah tak nak pakai saya lipat dan bungkuskan dalam satu beg plastik. begitu juga dengan kasut. kemudian saya labelkan beg tersebut. bila anak-anak tanya untuk apa ummi buat begitu saya jelaskan pada mereka, semua yang dalam bungkusan itu saya nak beri pada orang..biasanya saya sebutkan 'kawan-kawan ummi' atau 'anak kawan ummi'. kemudian saya ceritakan pada mereka tentang kesusahan orang lain. alhamdulillah anak2 sangat mudah faham. bungkusan tersebut kadang2 saya beri pada cleaner di sekolah, adakalanya saya cuma letak di luar tong sampah agar bila masa sampah diangkut pihak berkenaan, mereka tahu ada benda yang masih boleh digunakan.

begitu juga dalam berbelanja. saya mengajar anak membeli apa yang perlu sahaja. biasanya dalam perjalanan ke pekan rawang, kami akan lewati satu taman 'funfair'.. cuma sekali saya sebut, tetapi setiap kali lalu anak2 akan sebut dengan sendiri..."ini tempat membuang duit".. pernah saya duga si adik.. "nak tak satu hari ummi bawa adik dengan kakak masuk dalam tu tengok apa yang ada?".. adik jawab.."tak nak la, membazir je,nanti jadi saudara syaitan.." sesekali ke pasar malam bila tengok jualan permainan anak2 akan berhenti seketika. terasa juga kasihan melihat anak2 yang mungkin teringin untuk memilikinya,tetapi dari dulu saya memang tak mengajar anak2 membeli permainan di pasar malam,takut nanti tiap kali pergi mesti beli.. (bukan tak ada langsung mainan di rumah,tapi saya pilih mainan yang boleh merangsang pemikiran mereka)

di pasar malam juga suami juga mengajar anak2 bersedekah. menghulurkan duit pada tangan pakcik yang dunianya gelap gelita. kami suruh anak2 bersalaman agar mereka tidak merasa jijik melihat insan yang kekurangan ini.

semoga anak-anak ummi membesar dengan penuh rasa syukur kepada Allah.. Syukur juga padaMu ya Allah yang mengurniakan aku keluarga yang bahagia, anak-anak yang bijak dan segala nikmat yang tidak terhitung olehku..alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah..

Selasa, 21 Disember 2010

takziah buat puan martinelli & keluarga

adik aufa hani bersama nenda..

Setelah sekian lama menyepi, hari ini saya tergerak untuk menulis. Selepas melambai tangan pada suami yang bergerak ke tempat kerja, saya naik ke bilik komputer. Sementara menunggu puteri-puteri kesayangan saya terjaga dari mimpi, saya menjenguk ke muka buku untuk melihat khabar berita sahabat2..alangkah terkedu saya seketika membaca status ringkas seseorang yang sangat saya kagumi... "Alfatihah. Akhirnya Aufa pergi jua menghadap Allah Yang Maha Esa. DariNya kita datang kepadaNya kita kembalikan segalanya."

Hampir 2 minggu anak kecil ini di ICU dengan bantuan mesin pernafasan. Hari ini beliau pergi jua. Walau tidak pernah bertemu, tetapi saya selalu mengikuti perkembangan beliau melalui nendanya, kak nelli. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi beliau dan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk pari-pari syurga ini. Semoga beliau lebih bahagia di sana..

kematian adalah masalah ketentuan Allah dalam urusan-Nya, yang terkandung dalam istilah qada' dan qadar yang wajib kita beriman dengannya.

Syurga neraka adalah hak mutlak Allah SWT, Dia sahaja yang berhak menentukannya.

Umur manusia semuanya di dalam ketentuan Allah. Ada yang dimatikan waktu kecil dan ada yang dikurniakan umur panjang. Hikmah di sebaliknya amat banyak, yang semestinya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hakikatnya.

Kanak-kanak anak orang mukmin yang mati sebelum baligh di syurgakah mereka atau di neraka, adalah masalah yang tidak disemuafakati oleh ulama-ulama semuanya.

Akan tetapi jumhur Ahlissunnah wal jamaah berpendapat, bahawa mereka semua akan masuk ke dalam syurga Allah.

Al-Qadi Abu Ya'la bin al-Farra' meriwayatkan pendapat al-Imam Ahmad bin Hambal, katanya: "Mereka dimasukkan ke dalam syurga. Itulah pandangan yang mahsyur di kalangan ulama-ulama yang muktabar."

Al-Imam an-Nawawi menyatakan ijmak berlaku di kalangan ulama-ulama yang muktabar, bahawa kanak-kanak orang Islam yang mati sebelum baligh, mereka ditempatkan di syurga.

Dalil yang dipegang ialah firman Allah (mafhumnya):

"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah at-Thur, ayat 21)

Ibnu 'Abbas r.a dalam tafsiran ayat itu menyatakan: "Sesungguhnya Allah akan mengangkat anak keturunan (zuriat) orang-orang mukmin, bersama ibu bapa mereka di dalam syurga."

Al-Imam Muslim dengan sanadnya, meriwayatkan hadis daripada Abi Hassan katanya: "Saya bertanya Abu Hurairah berkenaan dua orang anak saya yang meninggal dunia sebelum baligh, apakah kamu (Abu Hurairah) pernah mendengar berbicara tentang anak-anak itu?

"Kata Abu Hurairah, Ya, ada saya mendengar, bahawa yang meninggal kecil daripada kalangan anak-anak orang Islam, mereka adalah di dalam syurga bersama ibu bapa mereka."

Itu adalah kurniaan Allah, seolah-olah memberi pengajaran bahawa, mana-mana orang mukmin yang Allah matikan anak mereka ketika masih kecil, kesedihan yang mereka tanggung tidak terperi, kerana kesabaran mereka menerima dan menanggung bebanan yang berat itu, Allah balas syurga kepada mereka, dan anak-anak itu akan menjadi penghibur kepada mereka di dalam syurga nanti.

Tentulah Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak akan mengazabkan hamba-Nya yang tidak melakukan sebarang kesalahan kepada-Nya.

Malah yang melakukan kesalahan pun Allah SWT akan memaafkan mereka. Inikan pula bayi yang masih kecil, daripada keturunan ibu bapa yang beriman kepada Allah SWT, dan tidak lagi ditaklifkan dengan amal-amal Islam, mereka masih seperti kain putih tiada dosa, maka logiknya mereka tidak diazabkan.

Jika tidak diazab, tentulah mereka dibalas dengan segala kebaikan, dan ditempatkan mereka ke dalam syurga bersama dengan ibu bapa mereka.

Semoga seluruh ahli keluarga kak nelli terus tabah menerima ujian dari Allah...